SKS Airways tambah penerbangan ke Tioman

SKS Airways tambah penerbangan ke Tioman

KUALA LUMPUR: SKS Airways, syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penerbangan penumpang berjadual dan penerbangan sewa-khas, menambah kekerapan penerbangan dari Subang ke  Pulau Tioman bermula 1 Julai ini sehingga 29 Oktober depan.

Dalam kenyataan medianya, SKS Airways memaklumkan, jadual penerbangan terus dari Subang ke Pulau Tioman akan ditambah kekerapan kepada dua kali sehari.

“Penerbangan dari Subang ke Pulau Tioman adalah pada jam 9 pagi dan 12.40 tengah hari, manakala penerbangan dari Pulau Tioman ke Subang pada jam 10.50 pagi dan 2.30 petang dengan tambang sehala termasuk caj bermula dari RM279.

“SKS Airways melancarkan penerbangan komersial berjadual ke Pulau Redang dan Pulau Tioman sejak 31 Januari dan 1 Mei 2022 yang lalu telah merancakkan lagi industri pelancongan domestik negara,” petik kenyataan itu. 

Sementara itu, Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad, berkata perkembangan beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan pada masa akan datang termasuk melancarkan modul ‘flight+hotel booking’ dan pakej percutian SKS Airways ke Pulau Tioman selain Pulau Redang. 

“Pihak kami mengalu-alukan kerjasama dengan industri yang terbabit antaranya hotel, resort, agensi pelancongan dan jabatan pelancongan dalam mempromosikan destinasi pelancongan domestik,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.sksairways.com atau ikuti media sosial SKS Airways di Twitter (twitter.com/sksairways), Facebook (facebook.com/sksairways), Instagram (@sksairways) dan LinkedIn (SKS Airways). – Husin Ibrahim