Skuad hoki Pahang idam emas SUKMA 2022

Skuad hoki Pahang idam emas SUKMA 2022

EMPAT pemain pasukan remaja kebangsaan menjadi taruhan skuad hoki Pahang untuk membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, di Kuala Lumpur, pada 16-24 September ini.

Pemain terbabit ialah Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Muhammad Shamir Rizmi Samsul, Nik Asraruddin Nik Ahamad dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.

Jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad berkata, skuad Tok Gajah turut diperkuat bekas pemain pasukan remaja kebangsaan, Muhammad Izham Azhar yang telah membantu skuad hoki negara muncul juara kejohanan hoki dalam dewan Piala Asia di Thailand, bulan lalu.

Menurutnya, lapan pemain Pahang turut beraksi pada kejohanan liga hoki remaja kebangsaan bulan lalu, mereka menduduki tempat ketiga.

“Saya berharap barisan pemain muda yang ada dapat melangkah ke perlawanan akhir SUKMA kali ini seterusnya menjulang kejuaraan, kali terakhir Tok Gajah meraih pingat emas pada SUKMA Pahang 1996.

“Pada SUKMA Perak 2018 kita meraih pingat perak selepas tewas kepada Sabah menerusi penentuan penalti shoot-out 3-2 selepas terikat 1-1,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pahang berada dalam kumpulan B bersama Johor, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak. – MOHD IMRAN IZZAD