Skuad hoki Pahang memang mantaplah

Skuad hoki Pahang memang mantaplah

JURULATIH Pahang, Mohd Sufian Mohamad memuji semangat juang tinggi pemainnya selepas menewaskan Selangor 2-1, pada final Kejohanan B-16 Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana semua pemain  bermain dengan baik apabila berjaya memanfaatkan pukulan sudut penalti yang diperolehi.

“Pemain juga berada pada prestasi terbaik terutama daripada segi kecergasan dan taktikal yang menjadi untuk memastikan skuad ini mencatat kemenangan ke atas Selangor,” katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu oleh Muhammad Nazmi Rahimi Che Anuar dan Muhammad Hakeem Danish Fadhlur Rahman pada minit ke-18 dan m-36.

Gol Selangor pula dijaringkan oleh Muhammad Syariel Shah Mohd Shahrul pada minit ke-60.

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki lelaki di atas kejayaan muncul juara pada kejohanan itu.

 “Semoga kejayaan menjadi pencetus semangat kepada adik-adik sekalian untuk terus mencipta kecemerlangan lebih besar dalam sukan hoki pada masa depan.

“Tahniah dan selamat maju jaya,” kata Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebook, hari ini.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN