Skuter air ‘Made in Pekan’ hasil kerja tangan nelayan setaraf keluaran antarabangsa

Skuter air ‘Made in Pekan’ hasil kerja tangan nelayan setaraf keluaran antarabangsa

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Siapa sangka percubaan menghasilkan skuter air untuk kegunaan sendiri bagi aktiviti memancing di sungai enam bulan lalu kini tertukar menjadi suatu perniagaan yang mendapat permintaan menggalakan.

  Gabungan minat, kemahiran serta pengalaman sebagai nelayan mencetuskan idea kreatif menghasilkan produk berkualiti tinggi dan menarik yang memiliki ciri hampir sama dengan jek ski.

  Kini Mohmad Zailnudin Mohd Noor, 58, boleh berbangga dengan kemampuan menghasilkan dua jenis skuter air gentian kaca untuk kegunaan aktiviti memancing dan riadah yang menggunakan enjin sangkut berkuasa sembilan hingga 30 kuasa kuda.

  “Selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya terputus pendapatan apabila tidak dapat turun ke laut membawa pemancing. Bermula dari situ saya mula mencuba menghasilkan skuter air hanya untuk kegunaan saya ke Sungai Pahang bagi melakukan aktiviti memancing. 

  “Selepas ada pihak yang menyebarkan gambar serta video skuter air yang saya hasilkan ke dalam media sosial, permintaan terhadap alat pengangkutan air itu mula muncul daripada pelbagai pihak.

Mohmad Zailnudin Mohd Noor mencuba skuter air yang dihasilkannya sebelum diserahkan kepada pembeli.

  “Tuhan sudah mengatur rezeki saya, keputusan menjual bot memancing untuk dijadikan modal menghasilkan skuter air begitu tepat sekali dan kena pada masanya.

  “Dalam tempoh kira-kira lapan bulan, saya berjaya menjual sebanyak 15 unit skuter air kepada peminat di Johor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu,” katanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai nelayan.

Mohmad Zailnudin Mohd Noor (kanan) menghasilkan skuter air memiliki ciri hampir sama dengan jek ski untuk aktiviti memancing dan riadah.

  Dia yang menjalankan aktiviti menghasilkan skuter air di kawasan jeti Kampung Marhum, dekat sini, berkata harga skuter air yang dihasilkan antara RM5,000 hingga RM5,500 seunit bergantung kepada kuasa enjin dan kegunaan.

Zailnudin Mohd Noor sedang menyiapkan skuter air yang ditempah pelanggan di jeti Kampung Marhum, Pekan.

  Menurutnya, saiz alat pengangkutan air yang dihasilkan itu ditetapkan 1.3 meter lebar dan 4 meter panjang serta berat 90 hingga 100 kilogram, hanya tempat duduk sahaja membezakan antara skuter air aktiviti memancing dan riadah bagi keselesaan tiga hingga empat penumpang.

  Mohmad Zailnudin atau terkenal dengan panggilan Pak Din di kalangan penduduk setempat berkata, selain sedikit kemahiran yang ada dia juga belajar menghasilkan skuter air dengan cara melihat rakaman video selain bertanya rakan-rakan. Pernah juga berlaku kesilapan namun itu dianggap suatu pengajaran paling berguna untuk berjaya.

  Beliau berkata, dia mengambil masa antara tiga hingga empat minggu bagi menghasilkan sebuah skuter air yang melalui beberapa peringkat pembuatan seperti menghasilkan kulit, tulang, penutup dan tempat duduk.

  Tambahnya, untuk membantunya menghasilkan skuter air mengikut jadual, dia kini terpaksa menggunakan tiga pembantu terdiri daripada belia Kampung Marhum yang memiliki minat dalam perusahaan itu.

  “Untuk membuktikan skuter air yang saya hasilkan berkualiti serta memenuhi ciri keselamatan, mereka yang berminat untuk membeli diberi peluang untuk mencuba terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya melihat uji pandu yang saya dilakukan dalam Sungai Pahang.

  “Selepas berpuas hati, perbincangan harga dan tempahan akan dilakukan secara bersemuka. Saya mampu menawarkan harga jauh lebih murah sekiranya pembeli dapat menyediakan sendiri enjin sangkut yang akan digunakan.

  “Sebelum ini banyak pihak yang seolah-olah memperkecilkan usaha saya menghasilkan skuter air apabila menyatakan tidak menarik kerana enjin berada di bahagian luar tidak sama dengan jek ski sebenar namun itu tidak sendikit pun menjejaskan semangat saya,” kata datuk 10 cucu itu.

  Mohmad Zailnudin berkata, dia kini sedang menyiapkan 10 unit skuter air yang ditempah pelanggan untuk kegunaan riadah dan lebih banyak tempahan dijangka diterima selepas ini sebaik aktiviti promosi dilakukan menggunakan media sosial.

  “Saya berbangga dapat menghasilkan sejenis alat pengangkutan air yang hampir sama dengan produk keluaran syarikat antarabangsa, selain berkualiti tinggi dengan reka bentuk menarik, harga yang ditawarkan juga dianggap murah

dan mampu milik.

  “Permintaan tinggi diterima kini daripada pihak yang terbabit dengan sektor pelancongan. Mereka menggunakan skuter air keluaran saya untuk membawa pelancong bersiar di kawasan tasik dan pulau.

  “Skuter air yang saya hasilkan hanya sesuai digunakan di sungai sahaja kerana faktor kuasa enjin yang kecil menyebabkan ia tidak sesuai berada di laut untuk melawan ombak.

  “Saya akan terus berusaha menambah baik dari segi reka bentuk bagi memenuhi permintaan pengguna, saya berharap skuter air keluaran anak tempatan ini diterima banyak pihak termasuk agensi penyelamat negara,” katanya yang turut mampu menghasilkan bot gentian kaca bersaiz besar untuk aktiviti memancing di laut.