SMATAF diarah tutup seminggu kerana Covid-19

SMATAF diarah tutup seminggu kerana Covid-19

PEKAN: Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF), di sini, diarah tutup seminggu, bermula semalam, selepas 53 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) positif Covid-19.

Arahan penutupan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan dengan asrama perlu dikosongkan untuk tujuan aktiviti membasmi kuman bagi mencegah penularan wabak.

Menurut sumber, selain 53 yang disahkan positif, 36 pelajar daripada keseluruhan 90 calon SPM di sekolah berkenaan juga menjadi kontak rapat kes Covid-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar ketika dihubungi, mengesahkan penutupan seminggu SMATAF susulan arahan dikeluarkan PKD Pekan dan pihaknya terpaksa akur.

Katanya, penularan wabak Covid-19 di SMATAF begitu cepat kerana dalam beberapa hari hampir semua calon SPM dijangkiti virus itu.

Menurutnya, pada hari pertama SPM diadakan hanya seorang calon positif namun selepas itu jumlahnya bertambah selepas ujian RTK dibuat oleh pihak sekolah.

Terdapat 1,802 calon SPM di Pekan membabitkan 21 sekolah. – MOHD IMRAN IZZAD