SMK Pulau Tawar akan dipindahkan ke lokasi bebas banjir

SMK Pulau Tawar akan dipindahkan ke lokasi bebas banjir

JERANTUT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar, di sini, yang banjir saban tahun bakal dipindahkan ke lokasi baru yang lebih tinggi.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekolah menengah berusia 51 tahun ini tidak lagi sesuai untuk terus beroperasi di kawasan berkenaan. 

“Pada dasarnya, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk menyediakan tapak baru sekolah. Cumanya, kita bersetuju kiranya ada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina sekolah ini. 

“Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana ia merencatkan pembelajaran anak kita. Mereka terpaksa bercuti, tidak dapat datang sekolah dan apabila selepas banjir nak kena bersihkan sekolah. Semua ini mengambil masa dan kos yang sangat banyak,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyertai gotong-royong pasca banjir bersama sukarelawan di SMK Pulau Tawar, hari ini. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah ; Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri; Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan pemimpin setempat. 

Pada program sama, beliau turut menerima 200 kit bantuan makanan kering dan sanitasi daripada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Bahagian Pengamal Perubatan Swasta, Dr Balachandran S Krishnan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Jerantut. – MUHAMMAD NAJMIE