RAUB: Strategi Barisan Nasional (BN) Pahang meletakkan muka baharu, Dato’ Chong Sin Woon di Parlimen Raub dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana diyakini calon itu mampu memberi kemenangan kepada BN.
YAB Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tidak timbul isu muka baharu kerana Sin Woon mempunyai pengalaman luas dalam politik selain pernah bergelar Timbalan Menteri Pendidikan di antara 2015 hingga 2018.
“Soal muka baharu ini perkara biasa dalam politik dan kita juga mempunyai gabungan orang lama dan baharu.
“Sebagai contoh calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam iaitu Dato’ Abdul Aziz Mat Kiram adalah orang lama dan beliau boleh membantu calon Parlimen meraih kemenangan kepada BN pada PRU kali ini.
“Selain itu, beliau (Sin Woon) juga berpengalaman luas kerana memegang jawatan penting termasuk dilantik menjadi Setiausaha Agung MCA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Masyarakat DUN Batu Talam bertempat di Tapak Sehari Felda Tersang 3, di sini, semalam.
“Sudah dua penggal Parlimen Raub tidak diwakili oleh BN dan lihat apa yang kita dapat? Mereka yang menjadi Ahli Parlimen di sini (wakil DAP) sampai masa lari ke tempat lain.
“Cuba kita fikir kenapa perlu lari? Pertama, sebab mereka takut kalah dan tidak buat kerja dengan baik sepanjang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Raub,” katanya.