50 Ahli Parlimen PN sebulat suara sokong Ismail Sabri – Muhyiddin

50 Ahli Parlimen PN sebulat suara sokong Ismail Sabri – Muhyiddin

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Walaupun Perikatan Nasional (PN) sebulat suara sebulat suara mencalonkan bekas Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu, sokongan itu bersyarat, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, seandainya dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri disyaratkan perlu memastikan ahli jemaah menteri yang bakal dilantik, terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Katanya, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat BERSATU, 18 PAS dan 1 STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) selain empat Ahli Dewan Rakyat pro-PN telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara pada 18 Ogos lalu menyatakan sokongan kepada YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

“Saya juga sudah berunding dengan pimpinan parti GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan PBS (Parti Bersatu Sabah) yang membentuk Kerajaan PN sebelum ini, untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan mencalonkan Ismail Sabri dibuat bagi menjamin kesinambungan dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa sesuai diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Keputusan ini juga bermakna PN ebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa. Apabila berdepan krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.