Solat sunat Aidilfitri di Pahang guna SOP solat jemaah sedia ada

Solat sunat Aidilfitri di Pahang guna SOP solat jemaah sedia ada

KUANTAN: Pahang masih mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah harian, Jumaat dan tarawih yang berkuat kuasa sebelum ini untuk solat sunat Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ia membabitkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau secara merapatkan sejadah tanpa berlaku sentuhan fizikal, dengan kehadiran terbuka kepada semua sama ada divaksin atau belum.

“SOP solat sunat Aidilfitri bagi tahun ini adalah sama seperti yang digunakan untuk solat berjemaah harian, Jumaat dan tarawih sebelum ini iaitu merapatkan sejadahtanpa sentuhan fizikal.

“Keputusan ini sudah dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa ‘task force’ COVID-19 Pahang dan mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang selepas Majlis Jamuan Berbuka Puasa YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Bersama Kepemimpinan UMNO Bahagian Pahang di sini, malam tadi. – HELMY ABD RAHMAN