SOP baharu masjid, surau di Pahang

SOP baharu masjid, surau di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dan 3 serta PKP Diperketatkan (PKPD) lokaliti bersasar di negeri ini.

YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, SOP baharu ini mula berkuatkuasa semalam (22 September), bersamaan 15 Safar 1443H, manakala SOP lengkap sebagai panduan kepada semua pentadbir masjid dan surau di Pahang akan disediakan Jabatan Agama Islam Pahang.

SOP baharu ini merangkumi perkara berikut:

Dibenarkan

1.  Ibadat solat fardu dan Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Daerah, Masjid Kariah dan Surau kebenaran Jumaat adalah:

1.1.  mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau kebenaran Jumaat dan tertakluk kepada kemampuan dan kawalan kepada jemaah.

1.2.  kehadiran jemaah adalah terbuka kepada semua sama ada yang telah divaksin atau belum divaksin;

2.  Manakala solat Jumaat dan solat fardhu di dalam kawasan PKPD lokaliti bersasar atau hotspot adalah:

2.1.  Solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid. Keutamaan jemaah adalah daripada kalangan mereka yang lengkap menerima suntikan vaksin.

2.2.  Solat fardu berjemaah dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 12 orang sahaja.

3.  Aktiviti pengajian ilmu di masjid dan surau :

3.1.  Kuliah maghrib dan subuh sahaja dibenarkan.

3.2.  Tempoh masa kuliah maghrib adalah antara waktu Maghrib sehingga azan Isyak sahaja.

3.3.  Tempoh masa kuliah Subuh adalah sehingga masuk waktu Isyraq sahaja.

3.4.  Kuliah atau kelas pengajian ilmu selain kuliah Maghrib dan Subuh  hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak JAIP/Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

4.  Aktiviti jamuan di masjid/surau dengan mengikut SOP semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.

5.  Majlis akad nikah boleh dilaksanakan di masjid negeri dan daerah dengan kebenaran PAID.

6.  Bagi Pengurusan jenazah di masjid dan surau, dibenarkan dengan mengikut SOP pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 yang disediakan.

7.  Ibadat bukan warganegara dan bukan ahli kariah juga dibenarkan dengan mengikut SOP solat di ruang musafir yang ditetapkan.

Belum dibenarkan

1.  Mengundang imam/khatib dan penceramah dari luar Pahang.

2.  Sebarang aktiviti berkumpul sebelum dan selepas solat jemaah kecuali majlis ilmu yang dibenarkan.

3.  Kanak-kanak yang belum baligh.

4.  Jemaah/ individu bergejala/ HSO/ CC1/ CC2.

Bagi memastikan tiada penularan disebabkan aktiviti ibadat di masjid dan surau, semua Jemaah masih perlu mematuhi semua protokol kesihatan yang ditetapkan, antaranya:

i.  Sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada di masjid atau surau.

ii.  Sentiasa berada dalam penjarakan fizikal.

iii.  Imbas suhu badan.

iv.  Daftar menggunakan aplikasi MySejahtera/ PahangGo/ buku kehadiran 

v.  Membawa sejadah sendiri bersaiz besar (minimum 110 cm x 70 cm).

Bagi pentadbir masjid dan surau hendaklah sentiasa memastikan :

i.  Masjid dan surau disanitasi sekerap mungkin.

ii.  Pergerakan keluar jemaah selepas solat hendaklah dipastikan secara teratur mengikut saf solat dan tidak bersesak-sesak.

iii.  Selepas solat semua pintu masjid dan surau dibuka bagi laluan jemaah keluar untuk mengelakkan kesesakan serta berpusu-pusu.

iv.  Pihak masjid dan surau memastikan dan benar-benar dapat mematuhi semua SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

SOP pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 dalam tempoh PKP 3.0 dan PPN Fasa 2 dan 3 di Pahang

Dibenarkan

1.  Pengurusan jenazah di masjid dan surau kebenaran Jumaat; surau atau rumah dengan had seramai lima orang sahaja dibenarkan di dalam bilik atau tempat dikhaskan ketika proses memandi dan mengkafan jenazah.

2.  Aktiviti ziarah jenazah dan ibadat solat jenazah

i.  Di masjid dan surau kebenaran Jumaat :

–  Bilangan/jumlah untuk ziarah dan solat jenazah di masjid dan surau kebenaran Jumaat adalah mengikut kapasiti jemaah solat Jumaat dibenarkan;

–  Tempoh masa ziarah dibenarkan maksima 10 minit sahaja pada satu masa.

ii.  Di surau:

–  Bilangan/jumlah untuk ziarah dan solat jenazah di surau adalah mengikut kapasiti jemaah solat fardu yang dibenarkan;

–  Tempoh masa ziarah dibenarkan maksima 10 minit sahaja pada satu masa.

iii.  Di rumah:

–  Bilangan/jumlah untuk ziarah dan solat jenazah berdasarkan ruang/ keluasan rumah dan hendaklah tidak melebihi 20 orang dalam satu masa;

–  Tempoh masa ziarah dibenarkan maksima 10 minit sahaja pada satu masa.

3.  Pengebumian jenazah

i.  Jenazah dibawa ke tanah perkuburan dengan kenderaan jenazah sahaja;

ii.  50 orang sahaja dibenarkan pada satu masa berada di tanah perkuburan;

iii.  Bacaan talqin dan tahlil;

iv.  Selesai dalam tempoh masa paling minimum.

4.     Ziarah kubur

i.      Jumlah penziarah/pengunjung adalah berdasarkan keluasan kawasan tanah perkuburan.

ii.  Selesai ziarah dalam tempoh masa yang paling minimum.

5.  Penyediaan makanan berbungkus sahaja dibenarkan.

Belum dibenarkan

1.  Jumlah individu melebihi yang ditetapkan.

2.  Melebihi masa ditetapkan.

3.  Bersalaman dan apa-apa bentuk sentuhan.

4.  Individu bergejala/ HSO/ CC1/ CC2.

5.  Aktiviti berkumpul sebelum atau selepas ziarah/ solat jenazah/ ziarah kubur.

6.  Majlis tahlil di rumah dengan jemputan luar

7.  Semua bentuk jamuan.

8.  Perarakan beramai-ramai membawa/ mengusung jenazah.

9.  Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Bagi tujuan mengelakkan berlakunya penularan, maka pihak-pihak berkenaan perlu mengambil perhatian dan peringatan terhadap perkara berikut:

1.  Wakil keluarga, pemimpin masyarakat setempat, pentadbir masjid/surau, pengurusan tanah perkuburan dan orang ramai bertanggungjawab memastikan semua SOP sentiasa dipatuhi.

2.  Wakil keluarga, pemimpin masyarakat setempat, pentadbir masjid/surau dan pengurusan tanah perkuburan hendaklah menentukan penggiliran dan had bilangan berada di rumah, masjid/surau dan tanah perkuburan.

3.  Bagi jenazah dan ahli waris yang merentas dari luar Pahang, dalam negeri atau luar daerah hendaklah mematuhi SOP semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

4.  Semua yang hadir sama ada di masjid, surau, rumah atau tanah perkuburan hendaklah:-

i.   Sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna;

ii.  Sentiasa berada dalam penjarakan fizikal (termasuk ketika menunaikan solat jenazah); 

iii.  Mengimbas suhu badan;

iv.  Daftar menggunakan aplikasi MySejahtera/ PahangGo/ buku kehadiran yang disediakan.

“Adalah diharapkan, SOP diumumkan ini dapat dipatuhi sepenuhnya dan umat Islam diseluruh negeri ini mampu menunaikan ibadah harian atau rutin di masjid atau surau dengan baik.

Demikian juga dalam aspek menyantuni pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 di negeri ini, agar semua pihak dapat mengambil tanggungjawab bersama dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik ini,” kata Syed Ibrahim.

Ends