Mohd Imran Izzad
RAUB: Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub berjaya mengesan sebanyak 29 tual balak spesies Meranti Tembaga bernilai RM24,000 dipercayai kayu curi yang disimpan dalam kilang papan di Jalan Batu Malim.
Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata selepas mendapat maklumat pihaknya segera ke kilang papan terbabit untuk membuat pemeriksaan dan hasilnya selonggok balak ditemui disatu sudut kilang terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua balak berkenaan tidak mempunyai tanda tukul hasil selain menggunakan pas memindahpalsu semata-mata untuk mengelirukan pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya.
Katanya, pemeriksaan mendapati balak berkenaan sudah dipotong menggunakan mesin bergergaji menjadikan saiz antara 2 hingga 8 meter panjang, tujuannya untuk mengelak dikesan sekiranya pemeriksaan dilakukan.
“Kita kini sedang berusaha mengesan lokasi hutan tempat pokok spesies Meranti Tembaga itu ditebang,
beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan haram berkenaan akan disiasat.
“Permintaan tinggi serta harga kayu spesies Meranti Tembaga yang mahal menjadi faktor utama sendikit mencuri balak mula aktif di daerah ini, mereka hanya memilik pokok balak spesies tertentu sahaja untuk ditebang.Beberapa hutan simpan kini menjadi tumpuan kumpulan terbabit.
“Sendikit terbabit dipercayai mempunyai rangkaian dengan pekilang tempatan serta pemandu lori, kegiatan mereka begitu tersusun dan lancar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, pihaknya akan bertindak tegas dengan mengheret pemilik kilang papan terbabit ke mahkamah kerana kesalahan menyimpan balak curi, mereka akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
Shahril berkata, balak yang dirampas kini disimpan sementara di stor rampasan Batu 18, Tersang, di sini sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.Satu laporan polis berhubung kesalahan hutan serta pemalsuan dokumen kerajaan turut dibuat.
Menurutnya, sebelum serbuan ke kilang papan di Jalan Batu Malim dilakukan pihaknya menahan dua individu berusia 32 dan 33 di Kompatmen 43 Hutan Simpan Tersang yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan mencuri balak, turut disita masing-masing sebuah motosikal jenis Honda EX5, kereta jenis Proton Iswara dan jengkaut.
“Kita yakin dua individu terbabit menjadi dalang sendikit mencuri balak spesies Meranti Tembaga di daerah ini, sekiranya terbukti mereka akan didakwa dalam masa terdekat selepas kertas siasatan disediakan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan apa juga kesalahan hutan terutama mencuri balak yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri”, katanya yang berharap masyarakat memberi kerjasama menyalurkan maklumat kegiatan mencuri balak.