Speaker DUN Pahang puji perwakilan belia

Speaker DUN Pahang puji perwakilan belia

KUANTAN: Yang Dipertua Speaker DUN Pahang berpuas hati dengan perjalanan Sidang Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berakhir kelmarin.

Dato’ Sri Ishak Muhamad berkata, pembabitan 42 perwakilan itu membuktikan mereka memiliki ketrampilan sebagai pemimpin pada masa depan.

“Pada Sidang Belia DUN Pahang kali ini, perwakilan lebih bersedia dan melakukan kajian sebelum menghadiri sidang ini. Persediaan yang dilakukan dapat dilihat ketika sesi perbahasan,” katanya.

Ishak berkata, sidang itu yang diadakan dua tahun sekali itu bertujuan memberi peluang berhujah buat golongan belia bawah 40 tahun.

“Kita buka pintu Sidang Belia DUN Pahang ini supaya mereka tahu tugas wakil rakyat dan fungsi dewan dalam membuat dasar dan meluluskan peruntukan negeri.

“Segalanya bermula di dewan dan dengan memberi peluang ini sekurang-kurangnya perwakilan belia lebih arif dan proaktif. 

“Perwakilan belia yang dipilih ini melalui proses temuduga, memiliki kelulusan, terbabit dalam pelbagai komuniti dan bawah 40 tahun,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN