SPFC hantar surat pertikai mutu pengadilan

SPFC hantar surat pertikai mutu pengadilan

TIDAK berpuas hati dengan mutu pengadilan membabitkan keputusan perlawanan Sri Pahang berdepan Terengganu FC (TFC) kelmarin, Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) akan menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata surat itu menerangkan ketidakpuasan hati mengenai mutu pengadilan pada perlawanan itu.

“Biarpun ia tidak memberikan sebarang makna atau mengubah keputusan perlawanan, mutu pengadilan perlu diberikan perhatian oleh FAM.

“Kita tidak mahu pengadilan lemah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) hingga memberikan kesan terhadap pasukan,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, skuad Tok Gajah akur apabila tewas 1-2 kepada TFC.

Namun, keputusan pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk memberikan penalti kepada pasukan tuan rumah menyebabkan pengurusan Sri Pahang berasa tidak adil. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN