SRI Pahang FC (SPFC) mengumumkan dua pemain e-sports dari kelab Sweet Monster (SME) iaitu Fatah Hakimi Fadzil dan Izzat Zahari untuk membawa cabaran pasukan di Kejohanan Liga Bolasepak Elektronik, eMFL Liga Super Malaysia 2022 yang membuka tirainya esok.
Pemilik SME yang juga pengurus pasukan, Amirul Syafiq Sukor, berkata ia adalah kali pertama kelabnya terpilih untuk mewakili Sri Pahang selepas melalui sesi pemilihan tertutup.
Justeru, beliau mahu Fatah Hakimi dan Izzat memanfaatkan pengalaman untuk memberikan tentangan sengit kepada 17 pemain lain yang mengambil bahagian.
“Fatah Hakimi dan Izzat sudah aktif dalam esport FIFA sejak 2018 dan mempunyai reputasi yang agak bagus dalam profesion ini, ada ranking di Asia dan juga dunia.
“Kita yakin mereka ada kredibiliti untuk memberi cabaran serius dalam eMFL Liga Super ini. Kita juga berharap mereka cuba sebaik mungkin untuk cabar kejuaraan apatah lagi ia menawarkan peluang mewakili Malaysia di kejohanan Piala Dunia FIFA di London Julai depan,” katanya dipetik dari laman sesawang sripahang.com.my.
Majlis memperkenalkan Fatah Hakimi dan Izzat diadakan di SPFC Lounge yang disaksikan pengerusi kelab, Raja Datuk Shaharudin Shah Raja Jalil Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN