29 Mei 2024 (FIKRAH PAHANG)- Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) institusi tahfiz milik Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang terus melakar sejarah apabila mencatat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2023) dengan mengungguli carta sekolah terbaik di negara ini dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07.
Penubuhan Maahad Tahfiz Negeri Pahang adalah atas cetusan idea Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang ketika itu Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memartabatkan pendidikan anak-anak Pahang.
Kerajaan Negeri kemudiannya membina kampus tetap MTNP di atas tanah milik Yayasan Pahang seluas 8.7 ekar di Tanjung Lumpur dan siap sepenuhnya pada 13 November 2005. Sehingga kini telah melahirkan lebih hampir 1,000 huffaz professional pelbagai bidang .
“Alhamdulillah, tahniah dan syabas kepada MTNP kerana telah mencatat sejarahnya tersendiri dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 apabila muncul sekolah terbaik dengan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 berbanding 1.197 pada tahun 2022”.
“Sudah pastinya keputusan ini merupakan pencapaian yang cukup luar biasa lebih-lebih lagi Maahad Tahfiz Negeri Pahang turut mencatatkan kesemua pelajarnya seramai 56 calon lulus 100 peratus dengan 23 daripadanya memperoleh gred A dalam semua matapelajaran” katanya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di facebook miliknya baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah mengucapkan tahniah kepada pengurusan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Yaysan Pahang, tenaga pengajar dan juga anak-anak pelajar yang terus berusaha bersungguh-sungguh dalam mengekalkan kecemerlangan Maahad Tahfiz ini.
Oleh:Kabhi Ismail