KUANTAN: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Tioman ditangguhkan, hari ini.
Ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Md Yunus Ramli awal pagi ini.
“Penangguhan hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dijalankan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kenyataan lanjut berhubung status DUN Tioman, yang terletak dalam Parlimen Rompin akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengarah SPR Pahang, Dato’ Zamree Hamli pula berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR Putrajaya.
Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi, 19 November 2022.
Allahyarham daripada PAS yang juga ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional). – BERNAMA