Sri Pahang atur aksi persahabatan perkemas strategi

Sri Pahang atur aksi persahabatan perkemas strategi

SRI Pahang FC sedang mengatur perlawanan persahabatan dalam usaha memperkasakan skuad itu sebaik Liga Super bersambung 1 Oktober depan.

Ketika ini, saingan Liga Super berehat susulan skuad Harimau Malaya beraksi dalam Piala Raja Thailand 2022 di Chiang Mai, Thailand.

Menurut ketua jurulatih, Dato’ Dollah Salleh, perlawanan persahabatan itu perlu untuk memastikan pemain berada pada prestasi terbaik dan kekal cergas.

“Sehingga ini, apa yang boleh saya maklumkan ialah Sri Pahang akan bertemu Terengganu FC (TFC) dan kini hanya menunggu pengesahan tarikh perlawanan.

“Saya perlu mengatur perlawanan persahabatan kerana tempoh rehat panjang iaitu tiga minggu.

“Dengan adanya perlawanan, saya dapat menilai dan mempertingkatkan lagi pasukan sebelum bertandang ke Kuching, Sarawak pada 1 Oktober ini,” katanya.

Sri Pahang akan menentang Sarawak United FC di Stadium Negeri pada 1 Oktober ini.

Selepas mengharungi 18 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ketujuh dengan mengutip 21 mata. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN