Sri Pahang bakal miliki pusat latihan baru

Sri Pahang bakal miliki pusat latihan baru

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

SRI Pahang FC (SPFC) bakal memiliki pusat latihan yang akan dibina di Kuantan dalam usaha meningkatkan kualiti dan prestasi pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata beberapa lokasi sudah dikenal pasti untuk membangunkan pusat latihan itu.

Katanya, pusat itu bukan sahaja memiliki padang latihan, malah kemudahan lain seperti gim dan rumah kelab.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad hanya dapat dilaksanakan apabila mendapat restu daripada pemilik SPFC, YAM Tengku Abd Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Sehingga ini, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SPFC sudah meneliti kertas cadangan pembinaan pusat latihan itu.

“Pembinaan pusat latihan ini sebagai insentif bagi menyuntik nafas baru SPFC seiring usaha meningkatkan lagi kualiti dan prestasi pasukan terutama barisan pemain,” katanya.

Skuad bimbingan Dollah Salleh kini menjalani latihan di Stadium Darul Makmur dan padang Taman Gelora, di Kuantan.