Sri Pahang batal dua aksi persahabatan

Sri Pahang batal dua aksi persahabatan

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sri Pahang FC mengesahkan dua aksi persahabatan yang dirancang sebelum saingan Liga Super bersambung Sabtu ini, terpaksa dibatalkan disebabkan penularan jangkitan COVID-19 varian Delta di Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, keputusan itu langkah terbaik buat skuad Tok Gajah buat masa ini.

“Seperti yang diketahui, peningkatan kes COVID-19 terlalu tinggi. Kita doakan situasi bertambah baik dan kes semakin berkurangan.

“Setakat ini pergerakan terbatas untuk meninggalkan Kuantan dan pergi ke tempat yang dilabel zon merah. Jika nak main di tempat kita sekalipun, rata-rata pasukan khuatir untuk merentas negeri dan mengadakan perlawanan persahabatan melainkan fasa itu dianggap selamat,” katanya menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC, hari ini.

Mengikut perancangan asal, Sri Pahang FC dijadualkan bertemu Terengganu FC (TFC) II dan Kelantan United untuk aksi persahabatan, namun sebelum ini Mohammed Suffian memaklumkan, ia bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pun begitu, katanya, skuad bimbingan Dollah Salleh itu sudah ada perancangan lain sebagai ganti apabila perlawanan persahabatan tidak dapat diadakan.

“Kita akan mengadakan perlawanan sesama sendiri. Kita ada 26 pemain dan memang setiap hari kita buat latihan berbentuk perlawanan untuk dapatkan tahap kecergasan terbaik,” katanya.