Sri Pahang belum cukup berbisa biarpun menang besar ke atas Kelantan United

Sri Pahang belum cukup berbisa biarpun menang besar ke atas Kelantan United

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh mengakui pasukan itu belum mencapai prestasi yang diinginkan biarpun mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan United pada perlawanan persahabatan, kelmarin.

  Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar prestasi pasukan itu kerana ia lebih kepada menguji kemampuan pemain terutama mempertajamkan jentera serangan.

  Katanya, berdasarkan penilaian semasa, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum saingan Liga Super kembali bersambung, Jumaat ini.

  “Masih ada beberapa hari lagi untuk mempertingkatkan lagi prestasi sepanjang tempoh rehat 10 hari dalam saingan liga. Saya harap pemain dapat melakukannya dengan lebih baik.

Kapten Sri Pahang FC, Muslim Ahmad mengawal bola ketika perlawanan persahabatan menentang Kelantan United.

  “Tumpuan bukan sahaja di bahagian serangan, malah bahagian tengah dan pertahanan juga perlu lebih bertenaga,” kata Dollah.

  Ditanya empat gol yang dijaringkan ketika membelasah kelab dari Liga Perdana itu, Dollah berkata, walaupun jentera serangan dilihat menunjukkan perkembangan positif, ia belum cukup menggembirakannya.

  Katanya, kemampuan sebenar pasukan belum lagi berada pada tahap yang diharapkan dan semua pemain perlu mempertingkatkannya.

  “Oleh itu, saya mengharapkan jentera serangan lebih agresif untuk memastikan pasukan ini mampu untuk memberi tekanan kepada lawan,” katanya.

  Selepas lima perlawanan, Sri Pahang sekadar mengutip empat mata dan berada di kedudukan 11 liga.