Sri Pahang benam Kelantan United demi tunai hajat Dollah Salleh

Sri Pahang benam Kelantan United demi tunai hajat Dollah Salleh

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

pic official SriPahang instagram

KUANTAN: Pasukan Sri Pahang FC membelasah Kelantan United 4-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

  Pada perlawanan itu, pasukan Tok Gajah masing-masing menjaringkan dua gol pada setiap babak untuk mencatat kemenangan besar ke atas kelab dari Liga Perdana itu.

Pemain Sri Pahang merayakan kemenangan ke atas Kelantan United, malam tadi.

  Empat gol Sri Pahang, masing-masing satu gol dijaringkan oleh Muhd Nur Izzat Che Awang, Yevhen Bokhashvili, Lee Tuck dan Baqiuddin Shamsudin.

  Kemenangan itu sememangnya didambakan Dollah Salleh yang memangku tugas selaku ketua jurulatih susulan ketumpulan jentera serangan yang dihadapi pasukan itu.

  Masalah ketumpulan serangan itu dapat dilihat selepas lima perlawanan yang menyaksikan hanya satu kemenangan dan satu seri diraih.

  Namun, dua gol yang dijaringkan dua penyerang iaitu Muhd Nur Izzat dan Bokhashvili sudah pasti melegakan Dollah sebaik Liga Super bersambung pada 2 April ini.

  Ini kerana tempoh rehat 10 hari itu lebih mengutamakan kepada mempertajamkan lagi jentera serangan dan misi itu dilihat menjadi kenyataan.

  Selepas lima perlawanan, Sri Pahang sekadar merekodkan, masing satu kemenangan dan seri dengan mengutip empat mata.

  Empat mata itu menyaksikan skuad Tok Gajah menduduki kedudukan ke-11 Liga Super.