KELAB Bolasepak Sri Pahang (SPFC) dikatakan dalam proses mendaftarkan dua pemain import, Sergio Aguero dan Lee Tuck sebagai pemain naturalisasi.
Difahamkan, keputusan mendaftarkan pemain dari Argentina dan England itu kerana Sri Pahang mahu menyenaraikan dua pemain import itu dalam skuad Tok Gajah bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ini kerana pada musim lalu, Aguero dipinjamkan kepada Perak FC (PFC) manakala Tuck pula bersama Terengganu FC.
Prestasi mantap yang dipersembahkan dua pemain import itu bersama PFC dan TFC menyaksikan SPFC mahu memastikan Aguero dan Tuck didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Menurut sumber SPFC, pendaftaran dua pemain import itu sudah dilakukan dan mengharapkan segalanya berjalan lancar.
“Kami mengikut syarat yang ditetapkan untuk membolehkan Aguero dan Tuck bermain bersama Sri Pahang musim ini,” katanya.
Musim ini, Sri Pahang menandatangani lima pemain import iaitu Mamadou Samassa, Johan Martial, Manuel Hidalgo, Billy Ketkeophomphone dan Mahmoud Za’tara. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN