Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Tiga pemain import baharu Sri Pahang FC kemungkinan disenaraikan apabila pasukan itu melayan Selangor FC di Stadium Darul Makmur, di sini, malam esok.
Ketua jurulatih pasukan itu, Dollah Salleh berkata, mereka adalah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hildago (Argentina) dan Abubakar Yakubu (Ghana).
Katanya, khidmat seorang lagi pemain import iaitu Kenny Anthiu dari Australia tidak dapat disenaraikan kerana hanya akan menamatkan tempoh kuarantin, esok.
“Namun, keputusan muktamad sama ada tiga pemain import ini boleh beraksi atau tidak akan diketahui, esok.
“Jika diikutkan, saya amat memerlukan khidmat mereka untuk membantu memantapkan jentera pasukan terutama bertemu Selangor,” katanya.
Mengulas perlawanan itu malam esok, Dollah mengesahkan dua pemain iaitu Nor Azam Azih dan Ashar Al Aafiz Abdullah akan kembali disenaraikan.
Katanya, Azam dan Ashar sudah menamatkan tempoh penggantungan satu perlawanan dan khidmat mereka akan ditagih.
“Oleh itu, saya minta semua pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk menyekat Selangor daripada membawa pulang mata,” katanya.