KELAB Bolasepak Sri Pahang (SPFC) tidak mahu kes jangkitan Covid-19 berulang selepas ini.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Dato’ Mohammed Suffian Awang mahu semua pemain dan pegawai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, pematuhan itu membabitkan pemain dan pegawai serta ahli keluarga masing-masing.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan semua patuh kepada SOP yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapkan.
“Pada masa sama, ia bagi mengelak pasukan ini dijangkiti Covid-19 sekali lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, skuad Sri Pahang kembali menjalani latihan semalam, selepas menamatkan tempoh kuarantin kerana sebahagian besar pemain dan pegawai didapati positif Covid-19 minggu lalu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN