SRI Pahang FC (SPFC) menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai mutu dan keputusan pengadilan ketika perlawanan Sri Pahang berdepan PJ City FC.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammed Suffian Awang menerusi satu surat menyatakan SPFC kesal dengan insiden yang berlaku membabitkan keputusan perlawanan itu.
Katanya, pihaknya melahirkan ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan dan keputusan pengadil, pembantu pengadil ketika perlawanan Liga Super itu.
“Berdasarkan keputusan perlawanan itu, berlaku insiden yang dilakukan oleh pengadil penjaga garisan.
“Jaringan oleh pemain PJ City FC, R Barathkumar yang diambil kira walaupun terdapat pemain PJ City FC, Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang didapati terkena bola dan menghalang penjaga gol Sri Pahang FC dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-85.
“Kedudukan ofsaid Mohd Khyril Muhymeen Zambri itu dianggap sebagai mencampuri, mengganggu dan mendapat keuntungan dari kedudukannya.
“Penjaga garisan sudah mengangkat bendera mengisyaratkan ofsaid berlaku. Bagaimanapun, pengadil mengubah keputusan dan gol diberikan selepas provokasi dilakukan oleh beberapa pemain dan pegawai dari PJ City FC,” katanya.
Oleh itu, Mohamed Suffian berkata, SPFC berasa amat kesal dengan insiden yang sekali lagi berlaku kepada pasukan itu.
Katanya, kelemahan itu mengubah keputusan perlawanan yang sepatutnya.
“Justeru, perkara ini telah mengakibatkan kerugian dan impak yang sangat besar kepada seluruh warga Sri Pahang FC.
“Sri Pahang FC dengan ini memohon agar kelemahan seperti ini dapat diatasi pada masa akan datang dan pengadil yang berkenaan dikenakan tindakan yang tegas dan penggantungan tugasan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN