Sri Pahang idam tiga mata di Cheras

Sri Pahang idam tiga mata di Cheras

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

SRI Pahang FC tidak gentar berdepan Kuala Lumpur (KL) FC City FC apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pertama saingan Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, segala persiapan sudah dilakukan terutama memperbaiki kelemahan di bahagian serangan.

Walaupun tidak dapat menyenaraikan penyerang import dari Myanmar, Aung Kaung Mann, beliau masih memiliki barisan pemain yang mampu merobek gawang tuan rumah.

“Apa yang pasti ada perubahan yang dilakukan terutama di bahagian serangan selepas Kaung Mann tidak dapat disenaraikan kerana belum pulih daripada kecederaan.

“Saya masih miliki barisan pemain yang bagus untuk mengetuai jentera serangan dan saya harap perancangan itu akan berjaya.

“Begitu juga kerjasama dan persefahaman mantap di bahagian tengah dan pertahanan untuk membentuk pasukan yang mantap,” katanya.

Difahamkan, jentera serangan Sri Pahang bakal menyaksikan Abdul Malik Mat Ariff atau Minuel Hidalgo akan bergandingan dengan Kenny Athiu.

Dengan prestasi Athiu yang semakin mantap di bahagian serangan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super, Dollah mahu skuad itu pulang dengan tiga mata sebagai motivasi.