Sri Pahang ikat Henrique

Sri Pahang ikat Henrique

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sri Pahang FC mengesahkan pemain kelahiran Brazil, Pedro Henrique menyarung jersi pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, pengalaman yang dimiliki Henrique dalam saingan Liga M sebelum ini diyakini membantu memperkasakan pasukan.

  Katanya, pemain berumur 29 tahun itu yang memiliki kerakyatan Timor Leste itu didaftarkan sebagai pemain import Asia Tenggara.

  “Kehadiran Henrique diharap menambah kekuatan di bahagian serangan sambil dibantu semua pemain,” katanya.

  Kehadiran Henrique melengkapkan kuota lima import iaitu Herold Goulon, Mamadou Wague, Lee Tuck dan Sergio Aguero.

  Berdasarkan rekod, Henrique pernah bermain bersama PKNS FC pada 2015 dan PJ City FC (2019).

  Musim ini, Sri Pahang mendapatkan khidmat Thomas Dooley selaku ketua jurulatih manakala Dollah Salleh dilantik sebagai pengurus pasukan.

  Ketika ini, pasukan bimbingan Dooley menjalani latihan pusat di Temerloh sebagai persiapan mengharungi saingan Liga M yang dijadualkan bermula pada 5 Mac depan.