SRI PAHANG FC mengesahkan penjaga gol kebangsaan Mali, Mamadou Samassa menandatangani kontrak bersama kelab itu.
Menurut sumber kelab berkenaan, pemain berumur 32 tahun itu dan memiliki ketinggian 1.77 meter sudah berada di negara ini, kelmarin.
“Ketika ini, Samassa sedang menjalani kuarantin dan akan menyertai latihan bersama Sri Pahang sebaik menamatkan tempoh kuarantin.
“Kehadiran Samassa sememangnya dinantikan sekaligus mengisi tempat yang ditinggalkan Helmi Eliza Elias yang tidak disambung kontrak musim ini selaku penjaga gol utama pasukan,” katanya.
Selain Samassa, tiga penjaga gol yang disenaraikan dalam skuad Tok Gajah musim ini ialah Daniel Wafiuddin Sa’dun, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN