PENGENDALI Sri Pahang FC, Dato’ Dollah Salleh, menjanjikan aksi terbaik dipersembahkan anak buahnya apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Menurutnya, biarpun skuad Harimau Selatan itu berada pada prestasi terbaik dan mengekalkan rekod tanpa kalah, anak buahnya bersemangat ingin meraih mata.
Katanya, prestasi konsisten dipersembahkan lawan tidak menjejaskan persediaan skuad kendaliannya itu untuk mempamerkan persembahan menyakinkan.
“Saya harap segala perancangan dapat diterjemahkan pemain untuk menyekat JDT daripada membawa pulang mata,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Pada perlawanan pusingan pertama Liga Super musim ini, skuad Tok Gajah mengikat JDT 2-2 di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Mei lalu.
Dengan keputusan itu, tidak mustahil Sri Pahang mampu mencatat keputusan lebih baik. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN