Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Bagi memperkasa dan memastikan Sri Pahang FC berada pada prestasi terbaik, pasukan itu mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur, di sini, malam esok.
Skuad itu yang dikendalikan sementara pengurus pasukan, Dollah Salleh akan bertemu kelab dari Liga Perdana, Kelantan United FC yang dijadualkan bermula pada 9 malam.
Aksi persahabatan itu penting buat Sri Pahang terutama memperbaiki segala kelemahan yang dipersembahkan dalam lima perlawanan Liga Super lalu.
Tempoh rehat 10 hari sebelum Liga Super bersambung 2 April ini, dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan pasukan itu terutama mengatasi masalah ketumpulan bahagian serangan.
Daripada tiga gol yang dihasilkan, hanya satu gol dijaringkan pemain serangan yang menyebabkan Dollah memberi tumpuan 100 peratus terhadap jentera serangan itu.
Ini kerana ketumpulan bahagian serangan akan memberi kesan terhadap prestasi pasukan terutama untuk memastikan kejayaan buat pasukan.
Atas sebab itu, Dollah mahu semua pemain memberi fokus terutama membantu pemain serangan untuk tampil lebih padu dan bertenaga dalam memburu jaringan.
Selepas lima perlawanan, Sri Pahang sekadar merekodkan, masing satu kemenangan dan seri dengan mengutip empat mata.
Empat mata itu menyaksikan skuad Tok Gajah menduduki kedudukan ke-11 liga.