Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Tempoh rehat dua bulan Liga Super sehingga Julai depan akan dimanfaatkan sepenuhnya Sri Pahang FC bagi memperkasakan pasukan itu.
Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, ia juga peluang terbaik untuk memperbaiki segala kelemahan dan membentuk pasukan yang lebih mantap dan bertenaga.

Katanya, sepanjang tempoh rehat ini empat import baharu berpeluang mendekati pemain tempatan untuk membentuk persefahaman dan keserasian.
“Tempoh rehat ini adalah masa sesuai membuat persediaan dalam memantapkan lagi pasukan terutama meletakkan kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini.
“Pada masa sama, empat import baharu ini berada pada prestasi terbaik mereka kerana ketika ini tahap kecergasan belum lagi mencapai 100 peratus.
“Fokus juga bukan sahaja di bahagian serangan, malah tengah dan pertahanan turut diberikan penekanan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Selepas mengharungi 13 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan sembilan liga dengan mengutip 12 mata.
Kemasukan empat import baharu iaitu Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia) menyaksikan Sri Pahang kembali pada prestasi sebenar.