TIGA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dipinjamkan kepada Sri Pahang FC, sepanjang musim depan.
Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) di Facebook, hari ini, mengesahkan Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik Ishak dan Azrif Nasrulhaq akan bersama Sri Pahang.
“Kami berbesar hati mengumumkan penjaga gol berpengalaman, Izham Tarmizi, Syazwan Andik dan Azrif menyertai pasukan ini secara pinjaman selama semusim.
“Izham Tarmizi, 31 dibawa masuk untuk memperkasa benteng terakhir dan dia sedia bersaing untuk merebut posisi nombor satu seterusnya mengisi kekosongan ditinggalkan Mamadou Samassa.
“Syazwan Andik diyakini mampu menambah kekuatan di posisi pertahanan kiri.
“Selepas tujuh musim bersama JDT, Azrif yang turut mempunyai kap bersama skuad B-23 dan senior kebangsaan memilih untuk keluar dari zon selesa apabila menyertai Sri Pahang musim depan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN