Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KHIDMAT pemain tengah Sri Pahang FC, Hidalgo Manuel tidak dapat ditagih apabila skuad itu berdepan Terengganu FC (TFC), di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu ini.
Ketua jurulatih kelab itu, Dollah Salleh, berkata Hidalgo tidak dapat disenaraikan susulan penggantungan satu perlawanan akibat tiga kad kuning.
Katanya, walaupun ketiadaan pemain Argentina itu amat dirasai, skuad diharap dapat mempamerkan prestasi terbaik terutama bagi mencatat kemenangan ke atas tuan rumah.
“Tanpa Hidalgo, saya sedang meneliti pemain yang akan mengisi kekosongan itu untuk memantapkan jentera tengah pasukan.
“Diharapkan pemain gantian dapat bermain dengan baik untuk menyekat pemain tuan rumah,” katanya.
Antara pemain bakal mengisi kekosongan adalah Zuhair Aizat Mohd Nazri.
Sementara itu, selepas mengharungi 16 perlawanan, skuad Tok Gajah kini berada di kedudukan kesembilan Liga Super dengan 17 mata.