Sri Pahang sasar lima teratas Liga Super 2022

Sri Pahang sasar lima teratas Liga Super 2022

SRI Pahang FC meletakkan sasara lima kedudukan teratas Liga Super musim ini berdasarkan sebahagian besar yang beraksi bersama kelab itu adalah pemain baharu termasuk import.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata: “Semua tahu musim ini Sri Pahang dibarisi sebahagian besar pemain baharu dan sasaran lima teratas adalah terbaik.

“Oleh itu, kita harap skuad ini dapat memberikan cabaran dan beraksi dengan penuh komitmen dan berdisiplin.” 

Mohammed Suffian berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baharu Sri Pahang FC musim 2022, di Kuantan, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa

Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin.

Bagi musim 2022, Sri Pahang menggunakan jersi utama jenama Hakka berwarna kuning manakala jersi kedua berwarna merah jambu.

Mengulas pelancaran jersi baharu itu, Mohammed Suffian berkata, Sri Pahang berterima kasih di atas sokongan yang diberikan Kerajaan Pahang kepada kelab itu.

“Musim ini, jersi pemain lebih kepada mempromosikan Pahang dengan `tagline’ Visit Pahang dan Invest Pahang. 

“Oleh itu, peminat Tok gajah boleh mendapatkan jersi baharu ini melalui secara dalam talian bermula malam ini,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN