Sri Pahang tagih kudrat maksimum tiga import baharu 

Sri Pahang tagih kudrat maksimum tiga import baharu 

SRI Pahang FC menuntut pencapaian cemerlang apabila menandatangani tiga import baharu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata kemasukan tiga pemain import itu diharap membantu meletakkan skuad itu berada pada prestasi terbaik.

“Sudah semestinya kita mahu mereka akan menjadi nadi utama pasukan serta dibantu pemain sedia ada.

“Dengan pengalaman yang dimiliki, saya percaya persembahan mantap bersama kelab mereka sebelum ini mampu diterjemahkan bersama Sri Pahang,” katanya.

Semalam, Sri Pahang mengumumkan kemasukan empat pemain baharu termasuk tiga import pada jendela perpindahan kedua.

Mereka ialah Steven Rodriguez, 24, dari Colombia, Kevin Ingreso, 29, (Filipina) dan Sherzod Fayziev, 30, (Uzbekistan) serta pemain tempatan, Mior Dani Armin Mior Ariffin, 23.

Tiga import baharu itu menggantikan Mahmoud Za’tara dari Jordan, Billy Ketkeophompone (Laos) dan Johan Martial (Perancis). – MUHAMMAD IZZ ZAHIN