Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com.my
DOLLAH Salleh mengakui kecewa selepas Sri Pahang FC tewas 1-3 kepada Kuala City (KL) City FC pada aksi pembukaan saingan Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Jurulatih pasukan berkata, kekalahan itu menyaksikan misi meraih sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan tidak kesampaian.
Katanya, segalanya serba tidak menjadi terutama di bahagian serangan dan pertahanan yang gagal memberi tekanan kepada tuan rumah.
“Pada masa sama, tiga gol mudah dilakukan pemain hingga menyukarkan pemain bangkit untuk merapatkan jurang gol dan jika dilihat persembahan malam tadi, pemain gagal menunjukkan semangat melawan.
“Bagi saya pemain tak ada ‘umph’ dan hanya bergantung kepada aksi bertahan, sedangkan sikap seperti itu perlu diubah jika mahu mencatat kemenangan,” katanya di Kuantan, hari ini.
Pada perlawanan malam tadi, tiga gol KL City, dua gol dijaringkan Romel Morales dan satu lagi, Daniel Ting manakala gol tunggal Sri Pahang pula hasil jaringan sendiri pemain lawan, Giancarlo Gallifuorco.