Sri Pahang tak boleh terlepas mata lagi

Sri Pahang tak boleh terlepas mata lagi

PENYERANG Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff mengingatkan rakan sepasukan bahawa skuad itu tidak boleh terlepas mata apabila berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC), Sabtu ini.

Justeru, pemain berusia 31 tahun itu mahu setiap pemain bangkit mempamerkan prestasi terbaik, sekali gus membantu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

“Kami tidak boleh lagi terlepas mata kerana Sri pahang kini berada di kedudukan ke-10 daripada 12 pasukan.

“Sudah pasti kami perlu mengutip mata jika mahu mengelakkan berada di kedudukan lebih bawah,” kata pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, skuad bimbingan Christophe Gamel itu kini berada pada kedudukan ke-10 dengan mengutip lapan mata.

Sebaik Liga Super bersambung pada 18 Jun lalu, skuad Tok Gajah tewas 1-2 kepada Sabah FC, sekali gus menjejaskan kedudukan pasukan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN