Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
PENGURUS Sri Pahang FC, Datuk Che Nasir Salleh mahu skuad itu tampil lebih padu bagi mengelak terlepas tiga mata apabila berdepan Penang FC pada saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.
Beliau berkata, skuad Tok Gajah tidak boleh tewas kepada Penang FC dalam merebut tempat ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Katanya, kekalahan di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sarawak United pada dua perlawanan sebelum ini diharap tidak berulang pada perlawanan ketiga.
“Peluang masih lagi terbuka kerana tiga daripada empat baki perlawanan termasuk berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur.
“Oleh itu, tiada yang mustahil untuk mencapai misi berkenaan dan menjadikan pertemuan dengan Penang FC sebagai penyuntik semangat,” katanya.
Tiga perlawanan di Kuantan ialah berdepan Penang FC Sabtu ini, Sarawak FC (7 November) dan KC FC (10 November).