Sri Pahang tampil padu berdepan Penang

Sri Pahang tampil padu berdepan Penang

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

SRI Pahang FC akan tampil lebih padu apabila melayan kunjungan Penang FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Ia disahkan ketua jurulatihnya, Dollah Salleh yang bakal menurunkan barisan utama menentang pasukan dari utara itu untuk mencapai misi meraih tiga mata.

Katanya, beberapa pemain yang sebelum ini terlepas dua perlawanan akibat mengalami kecederaan, sudah pulih dan dijangka dapat disenaraikan.

“Saya harap dengan kembalinya mereka ini akan membantu kita bukan sahaja mencatat kemenangan tetapi memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya di Kuantan, hari ini.

Difahamkan, penjaga gol utama, Helmi Elias Elias, Nor Azam Azih dan Aung Kaung Mann yang berdepan masalah kecederaan sudah pulih.

Sementara itu, pemain tengah, Baqiyuddin Shamsudin yang tidak beraksi ketika Sri Pahang seri 2-2 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pula sudah menjalani penggantungan satu perlawanan.