PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff dan rakan sepasukan tidak sesekali memandang rendah keupayaan Manjung City FC apabila kedua-dua pasukan bertemu bertemu pada pusingan pertama Piala FA, di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.
Justeru, Abdul Malik berkata, skuad bimbingan Christophe Gamel itu akan memberikan tentangan sengit untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sri Pahang.
“Fokus utama kami lebih kepada mendapatkan jaringan awal sekali gus memberikan motivasi.
“Lebih-lebih lagi kami masih dalam mempertingkatkan tahap kecergasan selepas sebahagian besar pemain dan pegawai dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
“Sebab itu kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Manjung City yang dijangka memberikan saingan,” katanya.
Berdasarkan jadual asal perlawanan, Sri Pahang sepatutnya berdepan Manjung City pada 12 Mac lalu tetapi ditunda selepas sebahagian pemain dan pegawai pasukan dijangkiti Covid-19.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN