SRI Pahang FC (SPFC) memaklumkan perlawanan Liga Super membabitkan Sri Pahang dan Terengganu TFC (TFC) yang dijadualkan di Stadium Darul Makmur malam esok, ditunda pada tarikh lain.
Menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu, malam tadi, penangguhan perlawanan itu berikutan penularan Covid-19 dalam kem SPFC dengan lebih separuh pemain dan pegawai pasukan disahkan positif selain kontak rapat bergejala.
SPFC sudah memohon kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk penundaan perlawanan dengan mengemukakan keputusan ujian serta pengesahan daripada doktor pasukan, dan berterima kasih atas pertimbangan.
Selain itu, turut ditunda adalah perlawanan kedua Liga Super 2022 menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada 8 Mac ini.
Perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Manjung City, pada 12 Mac, turut ditunda.
“Kami mohon maaf kerana penyokong perlu menunggu lebih lama untuk menyaksikan aksi sulung pasukan.
“Tiket untuk perlawanan Sri Pahang-Terengganu FC boleh digunakan untuk aksi yang dijadualkan semula nanti,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN