LAPAN pemain baharu, termasuk seorang import menyertai Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.
Mereka adalah Johan Martial, Azwan Aripin, Wan Amirzafran Wan Nadris, Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi, Fandi Othman, David Rowley, Sean Gan Gianelli dan Muhammad Faizal Mohd Arif.
Menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu, malam tadi, hanya lapan pemain diumumkan dan senarai pemain lain akan menyusul.
Sementara itu, Martial yang beraksi sebagai pemain pertahanan tengah berketinggian 1.84m mengisi kekosongan ditinggalkan rakan senegara, Herold Goulon.
Beliau yang juga abang kepada bintang Manchester United, Anthony Martial berpengalaman beraksi dengan beberapa kelab Ligue1 termasuklah Bastia, Brest, Troyes dan pada musim lalu bersama FC Sochaux.
Pemain berusia 30 tahun ini pernah mewakili pasukan B-19 dan B-20 Perancis dengan pencapaian terbaiknya adalah menjulang Kejuaraan Euro B-19 pada 2010.
Pengalaman dibawa Martial pastinya diharap dapat menambah baik kepincangan di posisi pertahanan yang merupakan antara posisi kritikal pasukan musim lalu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN