SSM bantu 134 usahawan asnaf di Pahang

SSM bantu 134 usahawan asnaf di Pahang

KUANTAN: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pahang mengagihkan RM134,000 zakat perniagaan kepada usahawan asnaf di Pahang yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah SSM Pahang, Kamarudin Mohd Daut berkata, setiap usahawan asnaf menerima RM1,000 dan usaha itu mendapat kerjasama daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Katanya, penerima adalah mereka yang terdiri daripada usahawan kecil yang menjalankan perniagaan makananan dengan syarat sudah mendaftarkan perniagaan dengan SSM.

“Sebelum ini kita turut menyediakan bantuan berbentuk kewangan antara RM300 hingga RM500 kepada masyarakat pelbagai kaum yang terkesan berikutan PKP disebabkan wabak Covid-19.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu antara bukti keprihatinan SSM pada golongan yang terkesan dengan PKP,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan SSM kepada usahawan asnaf negeri Pahang di Grand Darul Makmur, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.

Kamarudin berkata, bantuan itu diharap memberi semangat kepada semua usahawan asnaf agar tidak putus asas untuk meneruskan perniagaan mereka. – MOHD IMRAN IZZAD