Laporan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang
KUANTAN: Sebagai menghargai usaha ‘frontliners’ dan rakyat Pahang, Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi penghormatan ‘standing ovation’ kepada semua pihak yang teebabit dalam usaha mengawal penularan COVID-19.
Penghormatan itu dilakukan selepas Pahang tidak mencatatkan kes baharu dan kes aktif di hospital.
Menurut Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, penghargaan amat tinggi itu atas kerja keras dan kerjasama petugas barisan hadapan, semua ketua jabatan, warga semua jabatan negeri, Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Alhamdulillah, DUN hari ini memberikan ‘standing ovation’ kepada team COVID-19 Pahang.
“Kami yang terlibat secara langsung dalam tugasan ini, menyembah menjunjung kasih atas tunjuk ajar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Pemangku Raja Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Sallehuddin berkata, pihaknya turut berterima kasih terhadap kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail termasuk sokongan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), Yang Berhormat DUN Pahang.
“Yang paling penting penghargaan sewajarnya kepada semua penduduk Pahang yang memberikan sepenuh kerjasama,” katanya.