‘Standing ovation’ untuk MB

‘Standing ovation’ untuk MB

KUANTAN: Seluruh ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang bangun dan menepuk tangan bagi menunjukkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang berjaya membentangkan Belanjawan 2022 Pahang melebihi RM1 bilion.

Detik itu disaksikan sebaik diminta Ahli Dun (Adun) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim yang memohon semua ahli dewan bangun dan memberi tepukan penghormatan serta tahniah kepada kerajaan negeri yang diketuai Wan Rosdy berikutan kejayaan itu.

“Saya mohon semua ahli yang berhormat bangun dan memberi satu tepukan penghormatan serta tahniah kepada pihak kerajaan (negeri) diketuai YAB Menteri Besar dan pihak pentadbiran kerajaan selain penjawat awam diketuai oleh YB Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak) kerana berjaya membentang belanjawan tahun 2022 melebihi RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Belanjawan 2022 Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ir Razali bertanya mengenai jumlah pelaburan asing yang dibawa masuk ke negeri ini. 

Menjawab soalan itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang menjangkakan perolehan jumlah pelaburan tempatan dan asing sebanyak RM12 bilion menjelang penghujung tahun ini.

“Mengikut laporan terkini jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), Pahang menerima sebanyak RM6.751 bilion hasil pelaburan tempatan dan asing pada  2020 dan RM0.94 bilion sehingga Jun tahun ini.

“Untuk tahun depan, sukacita saya maklumkan kita sasarkan perolehan RM18 bilion jumlah pelaburan tempatan dan asing,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Adun Muadzam Shah itu, Wan Rosdy berkata, pelaburan asing terbabit akan mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

“Tentunya apabila ada pelaburan asing, akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, mengikut rekod yang saya peroleh sekiranya benar-benar sasaran RM12 bilion pelaburan dicapai tahun ini, sekitar 10,000 peluang pekerjaan pelbagai kategori dan kemahiran bakal tersedia,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN