Status bandar raya bukan ‘lesen’ untuk naikkan cukai taksiran

Status bandar raya bukan ‘lesen’ untuk naikkan cukai taksiran

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang tidak bermain ‘sandiwara’ dan menyanggah tanggapan segelintir pihak kononnya cukai taksiran akan dinaikkan selepas Kuantan dimasyhurkan sebagai bandar raya. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda berkata, kenaikan status bukan penentu kadar nilaian cukai, sebaliknya taraf baru bandar raya akan membuka peluang kepada pelaksanaan penstrukturan semula kadar cukai taksiran bersifat ‘mesra rakyat’.

“Saya banyak ditanya mengenai hal ini tetapi ingin saya terangkan, tidak ada syarat untuk cukai dinaikkan apabila naik taraf bandar raya. 

“Kita boleh saja menaikkan cukai walaupun tanpa menaik taraf bandar raya jika mahu berbuat demikian tapi ia bukan matlamat Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran secara langsung menerusi slot FBLive Sembang Petang Fikrah Pahang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar berkata, selain Bentong yang dijangka dinaik taraf menjadi bandar raya kedua di negeri ini dalam tempoh beberapa tahun lagi, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk menaik taraf status Pekan dan Cameron Highlands kepada perbandaran.  

“Kita ada cadangan untuk menaik taraf kepada Majlis Perbandaran Pekan dan Majlis Perbandaran Cameron Highlands dan sedang berusaha ke arah itu.

“Untuk Bentong, kita jangka mampu jadi bandar raya dalam lima ke enam tahun lagi dan pembangunan besar kebanyakannya di kawasan Genting yang akan menjadi pemangkin untuk daerah itu naik taraf bandar raya,” katanya.