ROMPIN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang bersama empat rakan strategik akan membantu penduduk Pulau Tioman menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada akhir tahun ini.
Kerjasama itu membabitkan pelbagai perkara antaranya penyediaan bekalan makanan, bantuan menyelamat, pengagihan dan logistik.
Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, ini kali ketiga sejak 2020 pihaknya menjalinkan kerjasama berkenaan yang diharap meredakan keresahan penduduk Tioman sepanjang tengkujuh.
“Rakan strategik JKM membabitkan MUIP Holdings Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah Rompin dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ).
“Agensi terbabit mempunyai tugas masing-masing. Contoh MUIP Holdings yang memiliki Pasaraya Darul Makmur (PDM) akan menyediakan bekalan makanan yang telah disenaraikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program pemantapan dan penyelarasan pengagihan bekalan makanan PDM-JKM di Pulau Tioman, dekat sini, semalam.
Turut sama hadir Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUIP Holdings, Ahmad Mustaqim Mohd Zain dan Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman. – MOHD IMRAN IZZADÂ