TEMERLOH: Kerajaan Pahang sedang merangka strategi ampuh bagi membolehkan setiap bandar di negeri ini memperoleh pendapatan tahunan melebihi RM100 juta setahun iaitu antara syarat untuk dinaik taraf menjadi bandar raya.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri juga memberi penekanan untuk memperluaskan perkhidmatan perbandaran dan kelangsungan pertumbuhan penduduk di semua bandar terbabit.
“Kerajaan Pahang memberi komitmen tinggi bagi penyediaan Rancangan Pemajuan di seluruh negeri ini dengan menyalurkan peruntukan pembangunan khusus untuk menampung kos penyediaan melalui Rancangan Pemajuan oleh PLANMalaysia Negeri Pahang dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Beberapa kriteria penting berkaitan perkhidmatan perbandaran yang diperluas, kelangsungan pertumbuhan penduduk dan sasaran hasil pendapatan tahunan melebihi RM100 juta perlu dirancang mulai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Temerloh 2035 (Penggantian) RTD di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.
Menurutnya, penyediaan RTD Temerloh 2035 (Penggantian) membuka peluang kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) untuk menggubal hala tuju pembangunan baharu bagi mencapai status Majlis Bandaraya menjelang 2035.
“Laporan draf RTD ini satu rancangan pemajuan disediakan untuk merangka pelan pembangunan holistik, seimbang dan mampan serta berpandukan Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 dan hala tuju baharu Kerajaan Pahang. – AIN HUDA AMIR