KUANTAN: Suami isteri sebak sebaik menerima Anugerah Anumerta bagi pihak arwah anak mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.
Anugerah itu diberikan kepada Allahyarham Muhammad Amirul Muizz, 24, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk latihan industri di Bukit Goh, kira-kira dua tahun lalu.
Allahyarham ketika itu penuntut tahun akhir Fakulti Pengurusan Industri di universiti berkenaan.
Pazilah Haron, 54, ibu kepada arwah, berkata masih segar dalam ingatannya ketika mereka dalam perjalanan dari Bera ke Kuantan untuk mengiringi Muhammad Amirul ke rumah sewa bagi memulakan sesi latihan industri.
“Seperti kebiasaan, apabila arwah pulang ke kampus dengan motosikal, saya dan suami akan mengekorinya sehingga ke Kuantan.
“Siapa sangka tidak sampai 15 minit lagi untuk sampai ke rumah sewanya di Kuantan, arwah terbabit dalam kemalangan. Lebih menyayat hati kejadian itu disaksikan di depan mata kami sendiri,” katanya.
Sementara itu, Tahar Suhaimi Mohd Shariff, 54, berkata semuanya hanya tinggal kenangan dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan UMP untuk menerima ijazah yang menjadi idaman Allahyarham.
Tahar Suhaimi hadir bersama Pazilah untuk menerima anugerah itu yang oleh disampaikan Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di dalam kamar dewan.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin.
“Harapan kini agar anak bongsu kami, Muhammad Adam Mukhriz, 19, yang kini menuntut di Institut Kemahiran Mara di Pekan dapat mengikuti jejak arwah abangnya menyambung pengajian di UMP.
“Sejak Allahyarham meninggal dunia, UMP sering menghubungi kami dan menguruskan segala keperluan berkaitan akademik, termasuk bersetuju untuk menamatkan pengajian dengan mengurniakan ijazah ini.
“Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan kami sekeluarga kerana hasrat Allahyarham untuk membahagiakan kami akhirnya tercapai,” kata Tahar Suhaimi. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN