PEKAN: Pengundi bijak sudah pasti tidak akan melakukan kesilapan dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November depan.
Pengundi berkata, mereka akan memilih calon yang boleh melaksanakan pembangunan dan kemudahan untuk rakyat setempat, berwawasan, ‘otak geliga’, berpendidikan dan bersikap ‘teman tapi mesra’ dengan penduduk setempat.
Pesara guru, Sarimah Mohamad Noor, 60, mengharapkan calon yang dipilih mempunyai idea bernas, jujur, amanah, tegas dan bertanggungiawab dalam melaksanakan sesuatu perubahan dan pembaharuan di kawasan yang diwakilinya.
“Calon yang dipilih mestilah ada wawasan untuk bangunkan kawasan dan bukan sekadar berpeluk tubuh sambil memerhati orang lain bekerja,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Udang, Chini, hari ini.
Bekas penjawat awam, Sabri Nordin, 62, pula berkata calon wakil rakyat seharusnya individu yang berpendidikan, berpandangan jauh, faham situasi dan permasalahan rakyat yang diwakilinya.
“Saya mahukan calon yang berkaliber, berwawasan, memiliki tahap kerajinan yang tinggi dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk,” katanya.
Pekerja bengkel motor, Che Ariph Izzuddin Amin, 25, mempunyai pandangan sama yang mahukan calon yang boleh bekerja dengan baik, senang berurusan dan membela nasib golongan belia.
“Kami di FELDA Chini perlukan seorang wakil rakyat yang dapat memenuhi aspirasi rakyat, menyalurkan bantuan yang diperlukan dan mudah dibawa berbincang mengenai isu setempat,” katanya.
Azniza Abdul Hamid, 40, berkata calon mestilah individu yang boleh bersama dengan rakyat, mendekati peneroka tanpa mengira peringkat umur.
“Jika calon muda tetapi berpendidikan dan boleh bekerja dengan baik, bagi saya itu tidak menjadi masalah,” katanya yang menetap di FELDA Chini 1. – NUR HANNAH KHADIJAH